SAHABAT PEMBACA! =)

Tuesday, August 14, 2012

KEAMPUNAN & RAHMAT


Hakikatnya kita hamba yang berhajat....
Namun di penghujung Ramadhan ini apa yang lebih mahal dari hajat2 kita ialah berhajat kepada KEAMPUNAN & RAHMAT dari Allah...
Bimbing diri mengenang dosa yang tak pernah  berhenti kita lakukan sedar atau tidak sedar...
Biar sejadah basah dengan air mata menghina diri di hadapan Ilahi atas timbunan dosa dan taubat yang dilambat2kan bukan menangis semata2 kerana hajat2 yang belum termakbul olehNya...

Ingatilah wahai diri...
Orang yang cerdik ialah orang yang sentiasa ingat mati...
Dengan mengingati mati kita mampu hidup dengan baik di muka bumi ini...
Ramadhan masih bersisa sedikit hari lagi....
Bukan kerana Ramadhan....
Tapi agar ia menjadi titik mula untuk kita terus mengingatiNya di bulan2 akan datang....
Sucikan hati kita pada yang Maha Mentadbir Hati...
Perbanyakkan istighfar dan mengingat dosa...

Kenapa Nabi sarankan kita perbanyakkan doa malam-malam terakhir Ramadhan, memohon ampun berbanding memohon hajat. Supaya Allah ampunkan dosa2 kita.. Supaya doa kita tiada hijab dengan Allah. Kadang2, sebab doa tak termakbul sebab kita banyak dosa. Mari perbanyakkan istighfar, doa sungguh2 minta ampun pada Allah swt. ~ via FB Heliza Helmi

"Allahumma innaka 'afuwwun tuhibbul 'afwa fa'fu anni"
[Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf yang menyukai permintaan maaf, maafkanlah aku.]

26 Ramadhan 1433H
T_T

Sunday, August 5, 2012

UJIAN RAMADHAN.TITIK. =)


Satu hari ana dengar radio Era.fm Kuching.
Topik yang dibincangkan pada pagi itu ialah perangai pelik di bulan Ramadhan.
Ana simpulkan bahawa semua kes2 yang dibincangkan pagi itu adalah ujian di bulan Ramadhan.
Nak marah tiba2 padahal hari2 biasa tak pula marah sebegitu.
Tergopoh-gapah tiba2 padahal hari biasa sabar nya tinggi pula.
Dan banyak lagilah perangai pelik2 di bulan Ramadhan ni.

Ujian Ramadhan....ujian Ramadhan...
Hati ana turut terbabas di bulan Ramadhan ini.
Ana telah memilih untuk melalui satu jalan.
Jalan yang merupakan keputusan terbesar dalam hidup ana.
Dan...
Di bulan inilah, Allah beri satu ujian ketika mahu melangkah jauh di atas jalan itu.
Hati ana.....terbabas....



Bisikan2 "kalaulah aku tidak memilih jalan ini......." merajai fikiran ketika itu....


[Ketika dia sedih dia marah-marah. Semua ini tidak akan membuatkan hati terubat. Ini kerana Allah tidak menjadikan perkara sia-sia ubat bagi hati. Allah yang menjadikan kesedihan sudah tentu Allah juga yang mempunyai ubat kesedihan ini. Jadi, apa ubatnya? Saya ingin bawakan satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibu Majah " Dari Abu Ishak bin Harith dari Ali R.A dia telah berkata, telah bersabda Rasullullah S.A.W, sebaik-baik ubat adalah al-Quran". ] - via ustazamin.com


Ana ingin terus tersenyum tabah...
Dalam senyum2 pun, air mata ana bagai empangan pecah...
Tak terkawal bila masanya ia mahu jatuh mengalir....
Ana ingin kuat...
Dan ana tidak mahu menyesali alamat mimpi dan petunjuk yang membulatkan hati ana melangkah di jalan ini...
Ana ingin berserah...
Lama-kelamaan dalam keadaan begini, pada mulanya ana ingatkan ana mahu berhenti saja...
Entah kenapa, dalam kemelut jiwa dan hati yang pecah ini, ada aura positif yang menyebabkan ana lebih yakin untuk meneruskan perjalanannya...

Akhirnya ana sedar satu hakikat...
Ana duduk diam di atas sejadah lalu ana bermuhasabah...


 Ana sudah bertawakkal...
:') Allah nak uji ana...
Dia beri ujian ini...
Dialah yang meletakkan ujian ini di bulan Ramadhan...
Semuanya dari Allahu Taala...
Ana sudah pilih jalan ini...
Allah mahu didik hati ana supaya kuat lagi...
Ana positif dan mahu positif lagi...
Dan Allah mahu ana SABAR dan KUATKAN KESABARAN lagi...



Ini cerita hati seorang hambaNya yang sudah bertawakkal...
Sejauh mana ujian ini membuat ana leka dalam kesedihan hati ataupun ana kuatkan diri menghargai dan melihat rahmat Allah yang Maha Luas daripada sekecil ujian itu....
Sejauh mana ana mampu bersangka baik dengan Allah atas usaha yang sudah ana serahkan natijahnya kepada Tuhan...
Biar hati ini berjalan atas rahmat dan redha Tuhan..
Bukan atas redha manusia semata2...

[Membaca al-Quran di antara cara merapatkan diri dengan Allah. Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Allah berfirman,  Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia (Surah ar-Ra’du ayat 28) 

Oleh yang demikian, jika kita bersedih, ambil al-Quran dan bacalah. Kita akan dilimpahi dengan ketenangan dan inysallah, Allah akan memberikan jalan keluar bagi segala permasalahan kita.] - via ustazamin.com


BERSERAH DAN BERTAWAKKAL.
UJIAN RAMADHAN.TITIK. =)

Wednesday, July 25, 2012

AMBILLAH MASA SEBANYAK-BANYAKNYA


6 Ramadhan 1433H. 
RAMADHAN KAREEM! ALLAHUAKRAM! ^__^



"Jahat mana kita pun, fitrah beragama untuk kembali pada Islam itu tetap ada. Cuma tak tahu bagaimana nak cari jalan pulang.  Siapa pun awak pada masa lalu, itu tak akan menghalang awak untuk jadi seorang muslimah/muslimin yang lebih baik pada masa akan datang. Kita kan ada Allah, kita ada tempat mengadu, kita tak akan forever alone. Itu yang penting. Nak jadi ohsem senang je, follow je apa yang Allah suruh. Agak-agak yang mana Allah tak suka tu, try la buang pelan-pelan. Hidup mati kita hanya kerana Allah. Siapa yang banyak memberi kepada kita? Allah. :')

Kalau rasa putus asa dalam perubahan, sabarlah, tutup mata pekakkan telinga kepada kata-kata yang menjatuhkan kita. Biarlah, bukan mereka yang masukkan kita ke dalam syurga neraka. Bukan mereka yang menimbang amalan kita. Bukan mereka yang tahu serba-serbi. Allah. DIA yang Maha Mengetahui segala isi hatimu. Ramadhan ini medan latihan."

Ana jumpa ini di laman Dr.Cinta Punya Belog.(sila Klik!)



Teringat ana zaman nama Tahun 3 UIAM Gombak, kalau tak silap tahun 2009. Ketika itu kami anak-anak Sarawak berprogram di Kem Herba Sungai Congkak di Ulu Langat, Selangor. Satu pesan yang ana tak boleh lupa sampai sekarang ialah kata-kata dari abang senior ana ketika beliau diajukan soalan oleh salah seorang peserta.






"Dalam hidup tok, pada satu peringkat kita akan rasa kita perlu berubah ke arah hidup yang lebih baik. Dan nak berubah bukan hal yang senang. Bukan sekejap malah ngambik masa yang lamak. Dan pasti dalam perjalanan nak berubah, kita akan dengar mulut urang macam2. Sigek jak pesan abang, sidak nya ya sikda hak nak ngato idup kita. Hak berubah ya hak kita. Jadi, ambik lah sebanyak2 masa pun agar kita boleh berubah kembali kepada Tuhan. Masa berubah ya pun hak kita. Sikda urang lain yang layak merampas masa berubah kita melainkan dirik kita sendirik. Kenak kuat, kenak berterusan!"

=) Jum kita mantapkan hati dan kuatkan diri untuk berubah.
=) Masa berubah itu milik kita, ambillah sebanyak2 masa yang kita mahu.
=) Allah memandang orang-orang yang berusaha untuk berubah. Jadi, senyumlah!

Tuesday, July 24, 2012

RAHSIA DI DALAM RAHSIA


5 Ramadhan 1433H. 
RAMADHAN KAREEM! ALLAHUAKRAM! ^__^



Alhamdulillah. Allah rezqikan, Allah pilih, Allah izinkan kita hidup dalam udara Ramadhan 1433H.
Sehari sebelum Ramadhan tiba, ana mendapat SMS.
Bumi ini kehilangan permatannya lagi.
Perginya seorang soleh yang bernama SYEIKH ABDUL GHANI IBN SOLEH AL-JA'FARI.


Selalu ana ingat kata murobbiy ana, apabila matinya seorang alim ulama' maka seluruh alam ini menangis.
Al-Fatihah.
Hati menginsafi bahawa kematian itu pasti.
Sehari2an sibuk dengan urusan dunia dan dunia.
Entah berapa minit untuk memikirkan bekal ke kubur kelak.
Dan sesungguhnya Allah berikan Ramadhan ini untuk kita.
Lakukan ibadah sebaik2nya umpama inilah Ramadhan kita yang terakhir.
AllahuRabbi. T_T

Ramadhan kali ini sedikit sebanyak mengajar ana untuk tidak risau dengan urusan dunia ini.
Urusan yang sudah tetap sempurna tertulis di Lauh Mahfuz.
Apatah lagi hanya kerana rahmatNya, terasa berkepit dengan al-Quran satu nikmat untuk BERINGAT!


Sepertimana tertulis dalam Hadis ke-4, sabda Nabi s.a.w di dalam Hadith 40 karangan Imam Nawawi:

"Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia......"

Sebagai manusia biasa, ya ana risau.
Adakah ini yang baik atau tidak baik buat ana..
Namun sesekali hadapkan jiwa yang resah dengan ayat2 cinta dalam kitab Hadis dan al-Quranul Karim, kita jadi BERINGAT!
Hakikatnya kita lupa pada hakikat.
=)

Menjadi orang yang belajar ilmu kejuruteraan, we fix things!
Tapi, RAHSIA TUHAN (rezeqi, ajal, maut, jodoh, dosa, pahala) tiada mampu budak kejuruteraan ini mengaturnya.
Petunjuk demi petunjuk datang tanpa ana mampu mengawalnya,
Datang seiring dengan doa yang tidak putus.
Apa sebenarnya yang ingin Allah sediakan buat ana?
Banyak kita minta dariNYA, kita minta tanpa JEMU.
Minta agar melangkah YAKIN.
HATI yang YAKIN dan MANTAP itu petunjuk dariNYA.
Urusan MASA HADAPAN ini, ana berserah sepenuhnya pada DIA.


Ana YAKIN semua ini ada hikmah selagi mana hati berasa senang dan tenang menghadapinya.
Percaturan taqdir ini adalah Rahsia-NYA.
Satu hari kelak akan tersingkap jua rahsiaNya ini.
Sementara itu, biarkan masa itu berlalu.
Hiduplah dengan baik.
Bedoa dan berusaha lagi menjadi hamba yang TAAT kepadaNya.
Bersederhana dan bersangka baiklah kepada Tuhan.
SABAR dan KUATKANLAH KESABARAN! =)

Madrasah Ramadhan ini datang tepat pada masanya,
Untuk muhasabah diri melalui setiap ayat2Nya yang dibaca.
Persediaan untuk melalui 11 bulan selepasnya.



Ya Rab, jika Engkau redha, maka hambaMu juga redha =)

Sunday, July 8, 2012

SEKUNTUM MAWAR HIJAU

"Aku sekuntum bunga yang berkelana mencari cinta di taman-taman Syurga-Mu"

Bismillah. (: with smile.
Ana terpandang sekuntum mawar hijau.
Ia menarik perhatian.
Ana terdiam sambil memikirkan KPI (key performance index)
Sebagai hamba kepada Tuhan.
Sebagai makhluk kepada Pencipta.


Sudah 5 bulan ana bermastautin kembali ke tanah tercinta ini.
Menyesuaikan diri dengan transformasi dari seorang pelajar universiti kepada seorang pekerja.
Mengubah hala dan matlamat hidup dari remaja riang kepada remaja lebih matang dan dewasa.
Mengekalkan sifat anak di mata ayahnda dan bonda yang semakin tua.
Semua itu perjuangan atau sedap ana sebut sebagai mujahadah.

Dan sekuntum mawar hijau ini menarik minda untuk duduk sebentar.
Sejauh mana ana mampu untuk menjaga HATI ana berjalan seiring dengan 3 matlamat di bawah dalam setiap tindakan ana:
  1. Menjadi HAMBA
  2. Meletakkan ALLAH di hadapan
  3. Merindui syafa'at RASULULLAH s.a.w di akhirat kelak

Susah nk jd insan soleh/solehah.
Susah Susah Susah.....
TAPI, kalau tak USAHA sampai ke hujung nyawa,
Rugi Rugi Rugi....

Semoga usia yang meningkat diiringi barokah dari hari ke hari,
moga tidaklah kita rugi.
Sesungguhnya Allah memandang USAHA, bukan sekadar hasilnya.
Semoga dikuatkan hati menjadi hamba Allah yang lebih baik.
Allahumma amin. 

Menitipkan lagu ini buat diri sendiri.
Biar menitis air mata mengenang diri yang masih belum mampu menjadi gadis kebanggaan Baginda s.a.w :'(





Allahumma Sholli 'ala Sayyidina Muhammad. :'(

Thursday, June 7, 2012

ALLAH ADA, ALLAH JAGA (=


Satu ketika, Allah mentaqdirkan satu perkenalan. Satu pertemuan. Perkenalan dan pertemuan kali pertama aku dan engkau. Kita berkawan, lama-kelamaan kita jadi sahabat. 2 perkataan yang sama maksudnya, tapi rasanya berbeza.

Kita kongsi gelak tawa dan suka duka…
Kita kongsi riuh rendah dan tangisan “run-run” tanpa kompromi…
Kita kongsi angan-angan dan do’a yang tak putus kepada Tuhan…
Kita kongsi cerita hati, cerita Nabi, cerita dunia dan cerita akhirat…
Kita tetap saling mengingat diri belum cukup sempurna di mata Tuhan…
Kita tetap saling menegur apa yang salah dan tak kena…
Hati yang satu kadangkala pecah…
Hati yang pecah bersatu kembali…

Satu ketika, Allah mentaqdirkan satu perpisahan. Kita menjauh. Kau dengan hala tuju hidupmu, aku dengan hala tuju hidupku. Ketika ini, aku pandang engkau, engkau pandang aku… bersama memori persahabatan kita.  Detik perpisahan tiba jua. Kau pergi, aku di sini. Atas kalimah “Laailahaillallah, Muhammadurrasulullah”, berpisahlah dua sahabat dengan sekuntum senyuman. :’) Dalam hati, hanya ada Tuhan Yang Maha Mengetahui apa lagi rencanaNya selepas ini. Kita redha, Kita Tawakkal. Allah Ada, Allah Jaga. YAKIN!

Allah sayang kita…
Sebab itu Dia pinjamkan engkau kepadaku…
Dia beri ujian ini supaya kita tabah….
Dia beri ujian ini supaya hati kuat…
Dia beri ujian ini supaya kita bersedia…
Kerana kelak pada masa yang ditetapkan…
Aku atau engkau, salah seorang yang akan pergi dulu menghadapNya…
Dan itulah perpisahan yang kekal abadi…
Ketika itu beringatlah, aku sudah tiada…tapi yang Maha Menciptakan aku takkan pernah mati…
Jadi, dari sekarang kena latih diri untuk hidup keranaNya, bukan kerana kita.
:’)

~ Aku mencintaimu kerana Allah dan Rasulullah s.a.w. ~
Semoga kita bersahabat di dunia dan syurgaNya kelak. 
Allahumma amin. :’)

:: 08062012-Jumu’ah Barokah-Pejabat JKR HQ Kuching ::

video

Ya Allah,
Sahabat saya tak seperti sahabat Nabisaw
Sahabat Nabi setia di sisi
Sahabat saya datang dan pergi.

Ya Allah,
Saya muhasabah, menerawang sendiri
Dari kecil ke saat ini
Ramai sudah bertandang di hati
Ramai juga yang datang dan pergi.

Ya Allah,
Sahabat ketawa, saya gembira
Sahabat sayu, saya syahdu
Sahabat layu, saya pilu
Sahabat cemerlang, saya gemilang.

Ya Allah,
Kawan saya, sahabat saya
Rahmati kami meniti usia
Terpisah kami di alam nyata
Temukan semula di taman syurga.

Ya Allah,
Sahabat saya, buah hati saya
Mesra kami penawar duka
Rindu kami menambah cinta
Rajuk kami membuah ceria.

Ya Allah,
Silaturrahiim kami, ukhwah fillah
Bermusuh kami, na'uzubillah
Berpisah mati, inshaAllah
Pengubat hati, do'a rabitah.


Saturday, June 2, 2012

DIAM TERAPI HATI =)

Senandung selawat buatmu wahai Rasulullah s.a.w. Allahumma Sholli 'ala Sayyidina Muhammad. (=

Menghampiri 2 bulan dari detik itu, ingin ana ambil beberapa detik ini untuk ana muhasabah kembali. Tempoh yang tak terasakan pabila hati dan jiwa diasak pelbagai ujian. Ana tetap memilih untuk diam. Ana ubat hati ana dengan tausiyyah guru2 ana. Makin ana ubat, makin bermacam2 duri2 yang menerjah. Semakin ana kuatkan hati, semakin itu ujian datang merapuhkan ia. Ana diam lagi di kala ana tahu ana mampu membalasnya. Diam sehingga kering air mata ana. Segalanya pahit untuk ana telan.

DAN hari ini ana merasakan nikmatnya mendiamkan diri selama ini. Ana suka!! hehe Alhamdulillah...dan ana sayang sahabat2 Ci Kang ana. Walaupun kadangkala mereka pun hilang sabar di hati, namun akhirnya semua mengingatkan untuk berlapang dada, bersabar dan jadilah sejuk lagi nyaman seperti Laici Kang.

Uhibbukum ya akhi, ya ukhti. Uhibbukufillah! (=

Percayalah, DIAM ITU TERAPI HATI (= Dan setiap ujian yang melanda itu, kita ada Allah yang sedang memandang hamba2Nya yang diuji. Serahkan hatimu kepadaNya sepenuhnya, dan senyumlah. ^__^
Sekali kita harapkan mentari, DIA bagi kita pelangi. Tak bercahaya namun ia berseri ^__^ ewah!


Alam telah memujukku, Kupunya Tuhan tempat mengadu :)
Allahumma Sholli 'ala Sayyidina Muhammad!

Saturday, May 19, 2012

SEKUNTUM BUNGA REDHA



(= Senyum dan berselawatlah sebanyak2nya pada hari Juma’at.
Semoga dibukakan segala pintu kebaikan buat kita, diampunkan segala dosa2, ditunaikan segala hajat , dikurniakan umur yang barokah dan semoga Rasulullah s.a.w. memberi syafa’at kepada kita.
Allahumma amin. (=

Usaha dan Tawakkal.

Sunnatullah yang harus ditaati agar hati bisa aman dan tenang. Setelah adanya usaha, lalu bertawakkallah. Itu adab. Adab kita sebagai hamba kepada Tuhan yang Maha Menciptakan. Perasaan takut gagal, takut kecundang, ataupun takut kehilangan akan bisa saja ditolak sejauh2nya setelah hati benar2 bertawakkal. Yakni sekeping hati yang bersedia untuk redha atas segala apa natijah kepada usaha. Ya, BERSEDIA.

Perihal hati yang tidak punya sedikit kuasa pun untuk memiliki. Sekali ia merasakan ia mampu menakluki , berlebihlah ia dalam sifat ia yang sepatutnya. Lupa bahawa yang memegang rasa hati ialah Allah s.w.t semata2. Namun, jika sekuntum bunga redha menguntum di hatinya, hanyalah senyuman terukir dari semanis2 ke sepahit2 natijah usahanya.

Ana memohon semoga Allah mengurniakan sekuntum bunga redha tumbuh di hati ana atas sedikit usaha ana yang laksanakan dan ternyata ana hanya hamba kepada Tuhannya.  Ana sedaya mungkin meletakkan Allah di depan dalam setiap urusan hidup ana. Ana beristikharah dan ana bertawakkal. Jawapan paling melekat di hati inilah akan titipkan dalam tindakan ana. Membulatkan yang mana paling memuaskan hati semua insan itu amatlah mustahil. Ana tidak mampu melakukan itu. Cukuplah ana berpegang kepada petunjuk Yang Maha Mentadbir hati ini. Ana belajar sesuatu yang ana lupa hari ini. “NATIJAH ITU URUSAN ALLAH”. Ana senyum dan mahu terus berserah.

Allahumma Sholli ‘ala Sayyidina Muhammad (=

Wednesday, May 9, 2012

LAYAK?


“Layak atau tidak layak: 
Kalau Allah s.w.t sudah membulatkan salah satu daripadanya buat kita, 


maka tiada sesiapapun yang bisa mengubahnya. ~TAWAKKAL~” 

Sunday, April 22, 2012

MAHU BICARA APA

Demam panas!
Innalillahi wa inna ilaihi roji'un.
Sesungguhnya dari Allah kita datang, dan kepadaNya jualah kita pasti pulang.

Ana menyusun semula kamus hidup. Biar nampak baru dan bersemangat. Perubahan tatacara hidup yang memerlukan lebih banyak DIAM dari banyak melenting. Buat jahat susah, buat baik lagi susah rupanya. Teringat pula ana entri DUNIA DI TANGAN. 


"Dunia ini tempat mencari pahala, tempat cari darjat di sisi Allah.Orang yang tinggi darjatnya di sisi Allah ialah orang yang meminta keampunan kepada kaum muslimin & muslimat" - Habib 
Mohamad.

Ujian takkan lelah menjengah. Berasal semuanya dari Allah Taala. Diam untuk meredhai ujian dengan kesabaran. Ana lelah berbicara & berkomentar. Lalu dibiarkan sahaja telinga mendengar, sakit pun dengar sahajalah. Mahu bicara apa, bicarakanlah....

Hari ini sambil melayan Encek Demam Panas, ana layan rakaman radio IKIM.fm (agaknya) bersama Prof. Dr. Muhaya Mohamad. Juga merupakan panelis majalah Q&A feveret ana. LEMBUT DALAM KEHIDUPAN. Tajuk pun sudah melembutkan hati. Suara keibuan Prof. menyemangati diri. 


"Formula segala-galanya ialah kita baik. Jangan sekali-kali sakitkan hati orang. Kalau boleh biar orang buat kita, kita jangan buat orang" ~ Prof. Dr. Muhaya Mohamad. 


Lalu betullah tindakan mendiamkan diri. Ana senyum. ^__^ Kata-kata sang murobbiy menjadi panduan.


"Dengan ILMU kamu akan dapat mengawal emosi" -  Dato' Sheikh Muhammad Fuad al-Maliki


Sehingga ke saat ini, tidak letih ana berdoa mudah2an Allah menuntun langkah kaki ini bersama iringan do'a yang masih ingin mendoakan ana. Semoga antum dilimpahi rahmat dan kasih sayang Allah. Jazakumullahu kheir. :D



~ALLAHUMMA SHOLLI 'ALA SAYYIDINA MUHAMMAD~
 

Sunday, April 15, 2012

BUKA LEMBARAN BARU :)

Selawat dan senandung selawat ana titipkan buatmu, wahai Kekasih Allah, Rasulullah s.a.w. :)
Allahumma Sholli 'ala Sayyidina Muhammad! :)

Suatu ketika dahulu ana duduk, berdiri dan berjalan seiring dengan mereka. Perjalanan bersama mereka yang mengukir suka duka memori berjuang memakmurkan bumi Allah ini dengan rasa cinta dan rindu kepada Rasulullah s.a.w. iaitu tugas yang WAJIB dilaksanakan oleh semua makhluk yang bernama manusia. Ana menyukuri ni'mat itu walaupun sepanjang jalannya ada saja ujian yang hampir mematahkan tangkai hati. Namun, semalam semuanya bagaikan berseri-seri. :)

Dan semalam suatu pengalaman yang menyaksikan bukan sahaja air mata kami yang menitiskan, tetapi juga ada hati-hati yang melihat dan menangis. Namun, ana percaya perancangan Allah itu lebih Maha Hebat. Baik buruk perancangan manusia semuanya dalam genggaman Allah. Maka, marilah kita meredhai ke mana arah jalan hati kita ini Allah letakkan. Jangan ditanam sifat memiliki kerana sifat itu hanyalah milik Dia.

Tahniah dan Takziah kepada saf kepimpinan PERKEPIS sesi 2012/2013. :) Dan buat yang sudah dimantankan seperti ana ini, ayuhlah teruskan perjuangan dakwah Rasulullah s.a.w. Perjuangan itu tidak harus berhenti malah harus bersambut. Semoga semuanya dalam jagaan, rahmat dan kasih sayang Allah s..w.t. Ayuh kita buka lembaran baru. Segala yang baik kita teruskan berbuat baik. Dan segala yang tidak baik kita kunci di dalam dewan muktamar semalam. LOCKED! :) Jom berlapang dada dan berjiwa besar lagi bebas.! Padam kebencian terhadap makhluk dengan memikirkan jutaan kecintaan terhadap Pencipta makhluk! :)

Ingin berkongsi kisah yang diceritakan oleh al-Habib 'Ali al-Jufri bahawasanya Al Imam al Jalil 'Alim Quraisy Muhammad ibn Idris al Syafi'i Radiyallahu 'anhu dicaci oleh seseorang. Lalu al Imam Syafi'i Radiyallahu 'anhu berkata: 

"Orang jahil mencaciku dengan buruk, aku enggan menjawabnya. Ia bertambah hina dengan cacian dan aku bertambah mulia dengan diamku umpama kayu gaharu yang disentuh api. Seseorang akan nampak lebih mulia bila tidak membalas cacian dengan cacian."





Setelah 7 tahun berada di madrasah ini, seikhlas hati ana ingin melafazkan Uhibbukum fillah! Allahumma Sholli 'ala Sayyidina Muhammad! :)



Sunday, March 11, 2012

BALADA SELAWAT 1433H

video

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: 

“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” 

(Surah Al-Ahzaab 33:56)

Saya tidak ada masalah untuk berselawat ke atas Baginda s.a.w. (n_n)v

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَىى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِّ الأُمِّيّ وَعَلَى آلِهِ

Friday, March 2, 2012

DUNIA DI TANGAN

1 Mac 2012-Keletihan sedikit ketika saya ingin hadir ke Majlis Ratib al-Attas di Madrasah al-Khairat Kuching yang lebih kurang letaknya di belakang rumah saya. Sebelah lorong saja. Tapi, hari ini ialah hari pertama saya mula mengajar sementara menunggu tawaran perkerjaan tetap. Hampir membulatkan keputusan untuk tidak hadir. Lalu saya berfikir, "Ini baru hari pertama bekerja, baru kerja sementara, letih begini takkanlah lalu memutuskan rutin setiap malam Juma'at ke majlis di rumah Habib". Melawan nafsu letih......agaknya badan belum biasa.... :)

PUJILAH ALLAH

Sedikit yang ingin saya kongsikan sebagai peringatan buat terutamanya buat saya. Allah S.W.T tidak menciptakan sesuatu (laut, gunung, bukit dll) melainkan Allah ingin menunjukkan keagunganNya, kebaikanNya dan kasih sayang kepada hambaNya. Sehebat manapun manusia, contohnya menjadi Professor sampai botak kepalanya, masih juga dia tidak dapat mencipta semut, bacteria, pohon2 dan alam ini. Allah itu Maha Mencipta dan apa2 yang diciptakanNya itu tanda Dia sayang kepada kita. 

Maka, apa pula yang perlu kita lakukan sebagai hamba? Sebagai hamba, haruslah kita ini bersyukur. Allah S.W.T menyebut dalam al-Quran bahawa hamba yang tidak bersyukur ini Allah kata "tunggulah azabKu yang amat pedih". Habib Mohamad menambah lagi. Kalau manusia contohnya pembesar2 negeri, membina bangunan yang tinggi2. Dia pasti mahu dihargai & dipuji. Disebut2 namanya dalam majlis. Pasti tersinggunglah kalau tidak disebut. Apatah lagi Allah S.W.T yang mencipta semesta alam. Allah juga mahu hamba2Nya memujiNya. Dan Allah S.W.T memuji2 dirinya sendiri contohnya dalam Surah al-Fatihah. 

Jadi, marilah memuji dan bersyukur kepada Allah. Oksigen free je, tak perlu kita bayar bil oksigen kepada Allah. Air pun sama. Semua free Allah bagi menandakan amat baiknya Allah kepada kita. Seorang kekasih memberikan bermacam2 hadiah kepada kekasihnya tujuannya apabila dipandang hadiah2 itu, maka saling mengingatilah keduanya. Maka, begitulah jua kalau kita tengok pokok, tengok langit, dan di mana sahaja kita melihat, di situlah kita melihat kebesaran Allah. Teringat kita kepada Allah. Inilah yang kita sebut sebagai IHSAN.

"Apa yang kau lihat, di mana pun engkau melihat, maka di situlah engkau melihat kebaikan & keindahan Tuhan. Kerana sesungguhnya kalau kamu ingin menghitung nikmat2 Allah, kamu tidak dapat menghitungnya. Maka, pujilah Dia, rinduilah Dia." - Habib Mohamad

Beliau yang mulia menyebut juga penciptaan manusia daripada tanah. Kenapa Allah cipta daripada tanah bukan api seperti iblis? Supaya manusia ini tidak sombong & tidak angkuh. Tanah yang busuk ini walaupun sudah kaya-raya, berpangkat tinggi, masih juga dia membuang najis yang busuk, masih juga hidungnya bertahi, masih juga di perlu gosok gigi dan mandi. Lalu, kenapa mahu sombong padahal kita masih membuang najis dan sebagainya.

BERZIKIR

Beliau mengingatkan lagi, berzikirlah kepada Allah dengan sebanyak2nya. 

"Janganlah hartamu & anak2mu melalaikan kamu dari mengingati Allah. Barang siapa yang berbuat demikian maka dialah orang rugi" - Habib Mohamad

Maka, sepatutnya pabila bertambah anugerah Allah kepada kita, maka bertambahlah cinta & syukur kepada Allah. 

Menyebut perihal menuntut ilmu, beliau menyebutkan bahawa menuntut ilmu ialah ibadah paling besar kerana lebih afdhal daripada 1000 raka'at solat malam, lebih afdhal daripada menziarahi 1000 orang sakit & lebih afdhal daripada menghantar 1000 jenazah. 

"Dunia ini tempat mencari pahala, tempat cari darjat di sisi Allah.Orang yang tinggi darjatnya di sisi Allah ialah orang yang meminta keampunan kepada kaum muslimin & muslimat" - Habib 
Mohamad.

Ada malaikat yang tugasnya turun di langit bumi, turun ke dunia lalu mencari majlis zikir kerana darjat majlis zikir di sisi Allah adalah sangat tinggi. Malaikat itu lalu duduk di majlis zikir. Pabila ia kembali lalu Allah bertanya dari mana ia datang padahal memanglah Allah itu Maha Mengetahui. Lalu malaikat itu menjelaskan kepada Allah bahawa ia baru kembali dari majlis zikir. Terampun dosa orang2 yang berada di majlis itu. Lalu malaikat berkata, "Tetapi, ada seorang yang terlalu banyak dosanya datang ke majlis itu semata2 mahu mengutip hutang. Lalu bagaimana dengannya ya Allah.". Berkata Allah kepada para malaikat," Dosa2nya juga diampunkan".

DUNIA DI TANGAN

Satu hal yang menyebabkan saya tak putus2 senyum ialah ketika mana  Habib menceritakan perihal majlis zikir di syurga kelak. Istilah "taman syurga" yang Allah beri kepada tempat yang ada majlis2 zikir ini adalah kerana dalam majlis zikir itu Allah cipta taman2 :) Ketika berada di majlis zikir di syurga kelak, ahli qasidah yang selalu mendendangkan qasidah2 di dunia Allah panggil untuk membuat persembahan qasidah. Allahumma amin.

Beliau menambah dengan terjemahan sebuah kalam, bahawa "Dunia itu paling kecil daripada yang paling kecil, maka orang yang dekat dengan dunia adalah sangat kecil di akhirat kelak". Tapi kita sekarang tak bolehlah buang dunia seratus peratus.

"Letakkan dunia di tangan, jangan bagi masuk di dalam hati. Dalam hatimu itu letakkan Allah" -Habib Mohamad

Takutlah kepada Allah. Hanya yang takut kepada Allah itu melainkan orang yang berilmu. 

" Hendaklah kamu rapatkan lututmu dengan para ulama'. Sesungguhnya hatimu akan keras jika 40 hari tidak datang ke majlis para 'alim ulama" - Pesan Luqmanul Hakim kepada anaknya.
:) Alhamdulillah. Gembira saya kerana tausiyyah beliau panjang sedikit kali ini. Namun, qasidah2 tak pernah tak, pasti memecahkan hati. :') Semoga Allah rezkikan saya dan awak untuk terus meniti jalan2 ini. Kita bertanggungjawab ke atas hati kita, maka pandai2lah membawa ia ke majlis2 yang sepatutnya. Mohon kemaafan atas segala cacat cela nota maya saya ini. 

Wallahu'alam. (n_n)v