SAHABAT PEMBACA! =)

Wednesday, January 12, 2011

MENANTI BELAHAN JIWA


Alhamdulillah. Inilah jawapan buat adindaku yang meluahkan resah jiwa muda semenjak kebelakngan ini. Mendengar luahannya mengundang diamku yang panjang. Untuk menyantuni fitrah cinta yang hadir dalam hati manusia ini, harus diiringi mujahadah yang bersungguh2. Bacalah wahai adinda....


Kegelisahan, kedukaan dan air mata adalah sebahagian daripada sketsa hidup dan kehidupan kita sekalian hamba di dunia ini. Titisan air mata yang bermuara dari hati dan berselaputkan kegelisahan jiwa terkadang memilukan hingga mencipta keresahan dan kebimbangan. Kedukaan kerana kerinduan yang teramat sangat dalamnya menyebabkan kepedihan yang menyesakkan ruang dada. Jiwa yang rapuh pun mengadu, berkeluh-kesah pada alam serta isinya, bertanya di manakah pasangan jiwa berada. Lalu hati mencipta serpihan kegelisahan, bagai anak kecil yang kehilangan ibunya.

Keinginan bertemu pasangan jiwa, bukankah itu sebuah fitrah seorang hamba? Semua itu hadir tanpa disedari sebelumnya hingga tanpa sedar telah menjadi sebahagian hidup yang tidak boleh dipisahkan lagi. Letih... Sungguh letih jiwa raga. Sendiri mengayuh biduk kecil dengan rasa hampa tanpa tahu adakah belahan jiwa di luar sana? Alahai... kehidupan manusia bukan hanya untuk dunia fana ini sahaja kerana masih ada akhirat yang kekal abadi. Memang, setiap manusia telah diciptakan berpasangan, namun tak hanya dibatasi oleh dunia fana ini sahaja. Seseorang yang belum menemui pasangan jiwanya, Insyaallah akan dipertemukan suatu hari nanti.

Keresahan dan kegelisahan janganlah sampai mengubah pandangan kepada Pemilik Cinta. Berserahlah kepada Maha Pemurah. Kembalikan segala urusan hanya kepadanya, kerana Dia Maha Memberi dan Maha Pengasih. Ikhtiar, munajat serta untaian doa tiada habis-habisnya dicurahkan kepada Pemilik Hati. Tak usah membandingkan diri dengan orang lain kerana Dia pasti memberikan yang terbaik untuk setiap hamba-Nya, meskipun adakalanya kita sekalian hamba tidak menyedarinya.

Usahlah dirimu bersedih lalu menangis di penghujung malam kerana tak kunjung usai memikirkan siapa kiranya pasangan jiwa. Menangislah kerana air mata permohonan kepada-Nya di setiap sujud dan keheningan pekat malam. Jadikan hidup ini penuh dengan harapan yang baik kepada Pemilik Jiwa. Bersiap menghadapi putaran waktu hingga setiap gerak langkah serta helaan nafas bernilai ibadah kepada Maha Pencipta. Bukankah kalau sudah saatnya tiba, jodoh tidak akan lari ke mana kerana sejak roh telah menyatu dengan jasad, siapa belahan jiwamu telah tersurat.

Sabarlah, bukankah mentari akan selalu menghiasi pagi dan malam senantiasa indah dengan sinar lembut rembulan dipagar bintang. Senyum dan hapuskanlah air matamu serta hilangkanlah lara di jiwa. Terimalah semua sebagai sebahagian kembara kehidupan yang akan menemui rahsia di sebalik titian kehidupan yang kau jalani. Hingga, kelak kau akan rasakan tidak ada lagi riak kegelisahan dan keresahan saat bersendirian.

mm

Sab, 01 Jan 2011 01:20 | Syahida Idris | Editor: Rasailul Ashwaq

Bertanya dimanakah pasangan jiwa berada,

Menangis mencari2 siapakah gerangannya,

Aduhai adindaku,

Makna hidup bukan sekadar itu,

Tiada gusar perlu digaris,

Pabila yakin janji TuhanMu,

Menangislah kerana banyaknya dosa2mu,

Bertanyalah dimana akhirnya nanti tempatmu,

Selebihnya jadikan sebagai kembara hidup,

Usia mudamu isilah dengan ilmu penuh di dada,

Sambil2 berdoa sebagai sandaran dan usaha,

Lalui penuh syukur dan redha,

Kulepaskan jua penuh redha...

(^_~)

*

No comments: