SAHABAT PEMBACA! =)

Tuesday, December 28, 2010

IA SEEKOR PIPIT

Seekor pipit terbang merentasi benua, melalui pelusuk dunia. Terbang ia ke timur, terbang jua ia ke barat. Timur dan barat itu terhidang dalam kehidupannya. Hanya dia yang mampu memilih arah tujunya.

Seekor pipit pabila ke barat, ia mudah berasa nikmat. Ia memenuhi kehendak nafsu baik dan nafsu buruknya jua. Baik dan buruk itu bercampur seperti minum 'shake' kesukaan manusia serata alam. Namun, di hujung hati si pipit ini, ada gundah dan resah. Suatu ketika melayan kelekaannya, dia tersedar keburukan itu tidak boleh bercampur dengan kebaikan. Lalu si pipit memikirkan pasti Pencipta dirinya yang kecil itu murka dan suatu ketika pembalasan pasti tiba. Ia mulai takut dan hatinya mulai remuk.

Lalu si pipit terbang ke timur kerana ia masih menyayangi imannya. Dalam perjalanan ke timur itu, berkata ia dalam hatinya. "Mengapa aku harus berasa jemu dengan hidayah? Mengapa jemu untuk berterusan menjadi baik? Bukankah Tuhanku sukakan kebaikan?". Lalu si pipit tiba di pintu gerbang di suatu singgahsana di timur itu. Lalu bertenggeklah ia bersama dan berhimpun dengan burung-burung yang lain.

Si pipit dan burung-burung lain ini hanya sekali sekala sahaja berjumpa. Dan di setiap perjumpaan itu ia merendah diri terasa memang sangat kecil walaupun sememangnya dirinya itu memang sudah sedia kecil. Jauh di sudut hatinya kecemburuan pada ketaatan dan kesolehan burung-burung lain pada Pencipta membuak2, sehingga ia merasakan ia tiada layak berada di situ. Namun, perhimpunan itu melimpah-limpah rahmat dan barokah Allah Yang Maha Esa. Si burung pipit merelakan dirinya, menghambakan dirinya, memberi jiwa dan jasadnya untuk mendengar mutiara2 indah yang diperolehinya dari singgahsana itu menyejukkan hatinya.



Seekor pipit kemudian terbang kembali ke barat, menjalani hakikat dunianya di sana. Namun kembalinya kali ini membawa hati yang sudah diberi ubat dan penawar. Hatinya dibalut dengan kasih sayang Pencipta. Kembalinya si pipit penuh azam, agar di dunia baratnya itu, ia mampu menahan dirinya dari terus kelekaan. Ia terbang bersama air mata bercucuran, merasa begitu berdosa. Ia tidak mahu lagi jadi seekor pipit yang derhaka.

Seekor pipit sudah tiba ke barat. Berfikir lagi si pipit ini "Layakkah aku mengungkap cinta pada Allah, menguntum kasih pada Rasulullah S.A.W.? Adakah Allah nampak aku yang kecil ini padahal burung-burung lebih lama dan lebih banyak mentaatiNya berbanding diriku?". Lamunan si pipit terhenti. Terbang si pipit menjenguk ke bawah, ke daratan yang mengandungi manusia. Si pipit tiba2 mengulum senyum. Ia sudah mendapat jawapan.

Si pipit berkata: "Wahai manusia, kita sama...sama2 makhluk Tuhan yang ingin redhaNya. Ayuh! Dengan daya dan usaha masing2, ikhlaskan hati kerana taqwa itu nilaian hanya dari Allah, Pencipta alam semesta dan segala isinya. "

No comments: