SAHABAT PEMBACA! =)

Wednesday, July 8, 2009

PKPIM SAMBUT BAIK KEPUTUSAN KERAJAAN MANSUHKAN PPSMI

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada keputusan kerajaan untuk memansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara berperingkat menjelang tahun 2012 seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


PKPIM menyambut baik keputusan tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu interpretasi komitmen kerajaan untuk mempertahan dan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia. Ia juga cerminan sikap kerajaan yang bersedia untuk mendengar dan mengambil pertimbangan sewajarnya terhadap suara rakyat.


PKPIM berpandangan bahawa keputusan tersebut merupakan keputusan yang bijak serta bertepatan dengan usaha untuk mengukuhkan perpaduan nasional melalui Bahasa Kebangsaan.


Keputusan tersebut dianggap sebagai hadiah kepada PKPIM dan seluruh mereka yang telah bertungkus lumus memperjuangkan pemansuhan PPSMI termasuk daripada kalangan pejuang bahasa, tokoh akademik, sasterawan, budayawan, gerakan pelajar dan seluruh rakyat Malaysia.


PKPIM mewakili seluruh pelajar Malaysia terutamanya dari kawasan luar bandar mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia di atas komitmen yang ditunjukkan untuk menyelesaikan permasalahan yang telah berlarutan selama lebih enam tahun ini.


PKPIM merupakan persatuan yang mewakili pelajar dan mahasiswa Malaysia yang terawal menyatakan bantahan dan menggerakkan usaha pemansuhan PPSMI sejak pelaksanaan dasar tersebut pada tahun 2003. Justeru, PKPIM menuntut jaminan kerajaan untuk berpegang pada keputusan tersebut untuk memansuhkan dasar PPSMI ini menjelang tahun 2012.


PKPIM mengulangi komitmen untuk memberi sumbangan yang terbaik kepada pembangunan pendidikan Malaysia khususnya dalam membantu kerajaan mendaulatkan Bahasa Melayu dan memperkasa Bahasa Inggeris di kalangan pelajar keseluruhannya.

MOHD. HILMI BIN RAMLI

Presiden PKPIM

No comments: